Total Pageviews

TAKRIF


Secara umumnya, Makki dan Madani ialah ilmu yang membicarakan tentang ayat-ayat serta surah-surah yang diturunkan di Mekkah dan di Madinah serta sekitarnya. Walaubagaimanapun, ulama’ berbeza pendapat dalam membuat penentuan dan pengertian antara ayat-ayat Makki dengan Madini. Oleh itu ulama’ telah membahagikannya kepada tiga bahagian :

1. Pembahagian dari sudut masa.

2. Pembahagian dari sudut tempat.

3. Pembahagian dari sudut tumpuan penurunan.


PEMBAHAGIAN DARI SUDUT MASA

Ulama’ golongan ini mengatakan surah dan ayat yang diturunkan sebelum Hijrah dinamakan ayat Makki, manakala surah serta ayat yang diturunkan selepas Hijrah pula dinamakan ayat Madani, tanpa mengira tempat baik di Mekah dan Madinah.

Pendapat golongan ini merupakan pendapat yang masyhur dan juga pendapat yang diiktiraf oleh jumhur ulama’, kerana ia dikira menyeluruh dan tepat dengan merangkumi ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi. Antara lain juga, pembahagian itu dibuat secara umum dengan tidak ada sebarang percanggahan. 

Berdasarkan pendapat ulama’ golongan pertama ini, ayat 3 di dalam Surah al-Ma’idah dikira Madani, walaupun ia turun di Padang ‘Arafah pada tahun Hijjatul Wada’ iaitu selepas hijrah. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya: “…Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu…”


PEMBAHAGIAN DARI SUDUT TEMPAT

Pendapat ulama’ golongan kedua mengatakan surah dan ayat yang diturunkan di Mekah dikatakan ayat Makki dan ayat yang diturunkan di Madinah, adalah ayat Madani.

Pendapat golongan kedua ini adalah dinilai dari sudut tempat turunnya ayat. Semua ayat dan surah yang diturunkan di Mekah dan daerah sekitarnya seperti : Arafah, Hudaibiyah, dan Mina dinamakan ayat Makki, walaupun ia diturunkan selepas Hijrah. Manakala semua ayat serta surah yang diturunkan di Madinah dan daerah sekitarnya seperti : Bandar, Quba, dan Uhud adalah ayat Madani, biarpun ia diturunkan selepas Hijrah.

Pendapat golongan kedua ini dikira tidak tepat, kerana ia tidak Jami’ Mani’, iaitu tidak meliputi dan tidak menyeluruh, kerana ada juga ayat yang tidak diturunkan di Mekah dan tidak di Madinah, contohnya : Ada ayat yang diturunkan sewaktu Nabi bermusafir, ketika Nabi berada di Tabuk dan sebagainya. 


PEMBAHAGIAN DARI SUDUT TUMPUAN PENURUNAN

Pendapat ulama’ golongan ketiga pula mengatakan ayat serta surah yang diturunkan dengan tujuan atau tumpuan atau Khitab kepada penduduk Mekah dikatakan ayat Makki, manakala ayat dan surah yang ditujukan atau Khitab kepada penduduk Madinah pula dikatakan ayat Madani.

Dalam erti kata lain, pendapat golongan ketiga ini dinilai dari sudut tumpuan penurunan. Menurut pendapat ini, ayat Makki biasanya menngunakan lafaz 'الناس ياأيها' (wahai sekalian manusia) dan ayat Madani pula dimulakan dengan ‫ ' ياأيها الذين امنوا' (wahai orang yang beriman.)

No comments:

Post a Comment